Tuesday 12 June 2012

Tuntut khairat kematian isteri

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2011
Tuntut khairat kematian isteri 
ALOR SETAR - Hasrat seorang tukang kasut untuk membuat upah haji bagi arwah isterinya masih belum kesampaian apabila wang khairat kematian isterinya masih belum diterima.
Pesara tentera, Osman Ishak, 63, berkata, arwah isterinya, Che Som Saad yang meninggal dunia Jun lalu tidak menerima khairat kematian berjumlah RM3,000 sebagai isteri kepada pesara tentera.

Menurutnya, dia yang menyertai Persatuan Perajurit setelah bersara sejak sepuluh tahun lalu telah memohon untuk mendapatkan wang khairat itu di pejabat persatuan di Alor Setar.

“Persatuan di sini telah meluluskan permohonan saya namun apabila saya hubungi pejabat di Kuala Lumpur mereka memaklumkan permohonan saya tidak diluluskan.

“Saya membuat permohonan khairat arwah isteri kerana sebelum ini ada yang menyatakan bekas tentera ataupun isteri akan menerima wang khairat sebanyak RM3,000,” katanya.

Osman yang kini bekerja sebagai tukang kasut selepas bersara daripada tentera memperolehi pendapatan tidak menentu iaitu sekitar RM50 hingga RM60 sehari.

Dia berkata, khairiat kematian yang dimohon itu bukanlah untuk kegunaan peribadi tetapi dia ingin membuat upah haji untuk arwah isterinya yang meninggal dunia akibat penyakit strok.

“Pihak yang bertanggungjawab turut memaklumkan hanya bekas anggota polis sahaja yang menerima peruntukan itu apabila saya menghubungi mereka baru-baru ini.

“Saya mohon pihak yang bertanggungjawab berikan penjelasan sama ada peruntukan tersebut disediakan atau tidak kepada bekas tentera atau isteri kami,” katanya.

Osman berkata, dia berasa ralat dengan keadaan yang berlaku yang menyebabkan dia terpaksa menunggu maklum balas yang agak lama.

Dia berkata, penjelasan perlu diberikan pihak berkenaan bagi mengelak perkara yang sama berlaku kepada bekas tentera yang lain.

 

No comments:

Post a Comment